PKR: Siasat punca kematian 2 anggota keselamatan di Sungai Layuh, Baram

Roland Engan

KUCHING, 7 Dis: PKR Sarawak menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat dengan segera punca kematian dua anggota pasukan keselamatan di Baram baru-baru ini.

Menurut Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Roland Engan, keputusan siasatan yang tepat tentang punca kematian dan situasi persekitaran insiden maut berlaku perlu didedahkan kepada orang awam.

“Ini adalah penting untuk memberi amaran kepada orang awam khususnya rakyat tempatan untuk sentiasa berhati-hati apabila melakukan aktiviti harian berdekatan lokasi insiden tersebut,” tegas beliau menerusi satu kenyataan semalam.


Menurut beliau, punca insiden mesti didedahkan mengikut prosedur yang adil untuk kebaikan semua selain mengelakkan insiden dari berulang.

Tambah Roland, jika punca insiden tidak didedahkan maka persepsi awam tentang kecuaian pasukan keselamatan sendiri akan sukar dinafikan.

“Perlu ingat bahawa persepsi awam di Baram ialah bahawa tiada sebarang keperluan mendesak untuk pasukan keselamatan tersebut untuk meronda tanpa tujuan jelas di kawasan Sungai Layun tanpa ada sebarang ancaman pada keselamatan awam oleh mana-mana pihak.

“Persepsi ini perlu dibendung dengan pendedahan hasil siasatan yang tepat dan telus,” ujar beliau.

Pada kejadian 4 Disember lepas, dua anggota keselamatan maut ketika menjalankan operasi rutin rondaan di Sungai Layun, Ulu Baram, Miri. — DayakDaily