Dua anggota pasukan keselamatan dihanyutkan kepala air ditemui mati

Datuk Aidi Ismail

BARAM, 4 Dis: Dua anggota pasukan keselamatan iaitu seorang anggota PGA dan seorang pengagwal keselamatan yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan kepala air dekat Kem Layun, Long Lama Baram malam Khamis lalu ketika operasi rutin ditemui mati hari ini.

Menurut Persuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail kedua-dua mayat anggota berkenaan kini berada di Klinik Kesihatan Long Lama.

“Mayat kedua anggota tersebut ditemui pada jam 3.00 petang tadi oleh pasukan yang terlibat dalam operasi mencari kedua mereka,” katanya ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat kedua anggota keselamatan terbabit.


Katanya pasukan daripada PGA Miri kini dalam perjalanan ke Klinik Long lama bagi membawa mayat kedua anggota terbabit ke Hospital Miri untuk tindakkan selanjutnya.

Beliau berkata kejadian berlaku sekitar 8.00 malam Khamis apabila kedua anggota tersebut bersama enam yang lain sedang berehat di tebingan sungai Baram sebelum dihanyutkan oleh kepala air yang melanda kawasan terbabit.

Enam anggota yang terselamat dalam insiden tersebut segera melaksanakan operasi mencari dan menyelamat keduanya selepas mereka dikhuatiri hilang susulan kejadian tersebut. — DayakDaily