KUCHING, 29 Sept: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak menggesa pihak bertanggungjawab segera melaksana dan menyiapkan Projek Bina Baru Laluan Pejalan Kaki di Kampung Sungai Dalam B di Lambir, Sibuti.
Menyifatkannya sebagai projek sakit setelah sedekad diabaikan, Timbalan Ketua Wanita PKR Sarawak Zulhaidah Suboh berkata, Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah (KKLW) harus menyemak semula peruntukan dan kegagalan pelaksanaannya di lapangan.
“Papan tanda projek tersebut sudah terpacak lebih kurang 10 tahun di Kampung Sungai Dalam B dan merupakan antara salah satu dalam kategori projek sakit di bawah KKLW sejak tahun 2011.
“Ia bukan saja telah mengalami kelewatan tetapi memang gagal dalam pelaksanaannya mengikut jadual yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Zulhaidah, ianya juga bukan projek naik taraf atau projek menggantikan laluan yang telah rosak tetapi projek bina baharu laluan.
Katanya, isu ini pernah dibangkitkan tetapi tiada perhatian dan tindakan daripada pihak yang bertanggungjawab.
“Setiap projek telah dibentangkan kertas kerja dan mempunyai peruntukan setelah mendapat kelulusan.
“Tetapi malangnya sehingga kini masih senyap dan penduduk Kampung Sungai Dalam terpaksa mengguna laluan usang yang berisiko tinggi terutamanya kepada warga emas, OKU dan kanak-kanak,” ujar beliau. — DayakDaily