MIRI, Mei 15: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mampu menjadi parti politik terbesar di negeri Sarawak menggantikan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada masa depan.
Ahli Parlimen Miri, Dr Michael Teo berkata, keyakinan itu adalah berdasarkan peningkatan keahlian PKR dengan melihat senario politik semasa.
Malah dakwanya, majoriti kaum Iban telah memberikan sokongan kepada PKR dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas sekali gus memacu kejayaan Pakatan Harapan (PH) menawan Putrajaya.
“Saya yakin PKR akan menjadi parti politik terbesar di Sarawak dan menggantikan PBB pada masa akan datang.
“Saya juga sangat gembira melihat masyarakat Dayak di negeri ini sudah matang berfikir dengan memberikan sokongan kepada PKR,” katanya.
Sementara itu, Dr Teo memberitahu, kaum Dayak di seluruh negeri ini juga mulai menyukai PKR dengan menyertai parti itu secara berperingkat.
Katanya, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun serta dua Ahli Parlimen Bebas iaitu Larry Sng dan Jugah Muyang juga mengumumkan penyertaan mereka dalam PKR.
“Kita tidak menolak kemungkinan jumlah keahlian PKR akan meningkat jika kita mengambil kira situasi politik kini,” ujarnya.
Dalam PRU14, Dr Teo telah berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Miri menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Sebastian Ting.
Beliau memperoleh 35,739 undi, manakala Sebastian memperoleh 22,076 undi. — DayakDaily