PKR Sarawak sokong Anwar sebagai PM

Abun Sui Anyit

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


KUCHING, 17 Ogos: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak menyokong penuh Presidennya Dato Sri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) sebagai Perdana Menteri Ke-9.

Ketua Penerangan PKR Sarawak Abun Sui Anyit berkata, kesemua kepimpinan di 31 cabang di negeri ini menyokong penuh usaha tersebut.

“Pimpinan PKR Sarawak mengambil maklum tentang persaingan antara ahli-ahli Parlimen tertentu untuk mendapat sokongan agar diangkat menjadi Perdana Menteri Malaysia Ke-9.


“PKR Sarawak dan seluruh anggotanya mendoakan semoga Anwar mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan seterusnya dilantik oleh Baginda,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jika diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong tambah Abun, pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri adalah selari menurut dan menghormati mandat rakyat Malaysia di dalam Pilihanraya Umum yang ke-14 yang lalu. — DayakDaily