PKR Sarawak sifatkan kabinet baharu adalah kitaran semula

Joshua Jabeng
Advertisement

KUCHING, 28 OGOS: Parti Keadilan Rakyat(PKR) Sarawak menyifatkan kabinet baharu yang dilantik semalam adalah barisan menteri kitaran semula yang telah terbukti gagal.

Setiausahanya Joshua Jabeng berkata, ia adalah sangat mengecewakan dan seolah-olah mengulang kembali kesilapan terdahulu.

“Kami(PKR Sarawak) amat menyesali lantikan jemaah menteri yang baharu diumumkan dan ia hanya mengulangi kesilapan yang mengecewakan.

Advertisement

“Selain daripada bilangan yang terlalu ramai, mereka adalah barisan kitar semula daripada barisan menteri yang terbukti telah gagal,” katanya dalam kenyataan semalam.

Dalam pada itu tambah Joshua, PKR Sarawak menyokong langkah yang telah diambil oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan(PH) untuk mengetepikan perbalahan politik dan memberi kerjasama Perdana Menteri.

Katanya, ia demi mengutamakan kesejahteraan rakyat sehingga ke Pilihanraya Umum Ke-15 yang akan datang.

“Adalah jelas terbukti bahawa peranan PH tidak boleh lagi dipandang remeh atau gila kuasa.

“Kita sanggup menyumbang secara langsung dan konstruktif untuk menurunkan kadar jangkitan Covid-19 serta berusaha memulihkan ekonomi yang sudah mencapai tahap kritikal secepat mungkin,” ujar beliau.

Menurut Joshua lagi, kita perlu berpendirian realistik serta mengikut keperluan semasa dan persefahaman yang dijalin dengan kerajaan adalah bersifat sementara.

“PKR Sarawak ingin mengingatkan bahawa kerjasama ini perlu tertakluk kepada  syarat-syarat tertentu seperti melantik barisan speaker yang berpendirian adil termasuk wakil dari barisan pembangkang.

“Ini perlu untuk menjamin keserasian Dewan Rakyat sebagai wadah untuk berbahas demi mencari penyelesaian ke atas permasalahan rakyat dan bukan menjadi medan bertegang leher yang tidak bermakna di kalangan Ahli Dewan,” ujar beliau. — DayakDaily

 

Advertisement