PKR Sarawak menjelaskan kesilapan dalam perisytiharan harta Baru

Kenyataan PKR Sarawak menjelaskan laporan Baru mencatat pendapatan bulanan tertinggi dalam kalangan Ahli Parlimen di laman Facebook parti itu.

KUCHING, Nov 2: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak menjelaskan Menteri Kerja Raya, Baru Bian telah melakukan kesilapan ketika mengisytiharkan hartanya dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut satu kenyataan dalam laman Facebook PKR Sarawak, Baru antara terawal mengemukakan pengistiharan itu tetapi telah membuat kesilapan dengan mengemukakan sebanyak dua kali elaunnya sebagai Ahli Parlimen dalam pengisytiharan tersebut.

“YB Baru Bian adalah antara yang terawal yang mengemukakan dan membuat kesilapan dalam mengemukan 2 kali elaun ahli parlimen. Beliau telah memaklumkan kepada SPRM dan menghantar penyata gaji kepada mereka (SPRM) untuk pembetulan,” menurut PKR Sarawak.

Sebelum ini Baru yang juga Pengerusi PKR Sarawak dan Ahli Parlimen Selangau dalam pengisytiharan itu telah dilaporkan mencatat pendapatan bulanan tertinggi dalam kalangan Ahli Parlimen dan anggota pentadbiran dengan pendapatan mencecah RM108,056 sebulan.

Ini diikuti, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dengan pendapatan berjumlah RM86,464.92, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (RM77,629.68), Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, (RM75,861.57) dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (RM73,576.15).


Pautan untuk Portal Perisytiharan Harta yang dibangunkan SPRM adalah https://mydeclaration.sprm.gov.my. — DayakDaily