PKR Sarawak gesa SPR tetapkan tarikh PRN12 pada 2 Januari 2022

Parti Keadilan Rakyat logo.

KUCHING, 7 Nov: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh Pilihanraya Negeri Ke-12 (PRN12) pada penghujung tempoh 60 hari iaitu sehingga 2 Januari 2022.

Sekreteriat Penerangan PKR Sarawak dalam satu kenyataan berkata, ia dipersetujui dalam satu mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri yang diadakan semalam.

“Ini penting kerana PKR Sarawak berpendirian bahawa tarikh ini sahaja yang memberi keadilan kepada semua pihak termasuk parti–parti yang bertanding dan memberi peluang kepada Undi18 dapat dilaksanakan,” katanya.


PKR Sarawak dalam kenyataan itu turut kesal dengan tindakan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menyegerakan pembatalan Ordinan Darurat.

Katanya, pembatalan Proklamasi Darurat Sarawak 2021 dan Ordinan (Kuasa-Kuasa Perlu) Sarawak 2021 pada 3 November lepas oleh Yang diPertuan Agong atas permintaan kerajaan Sarawak.

“Selain itu data kematian akibat Covid-19 adalah tertinggi di Sarawak.

“Justeru tarikh yang paling lambat ini hendaklah digunapakai untuk memberi keadilan kepada semua dari segi tarikh dan hak mengundi anak muda berumur 18 hingga 21 tahun serta pengundi berdaftar secara otomatik,” menurut kenyataan itu lagi. — DayakDaily