Bot nelayan ditahan, langgar syarat sah lesen

Gambar komposit menunjukkan keadaan semasa operasi tersebut.

TANJUNG MANIS, 7 Nov: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Tanjung Manis menahan sebuah bot nelayan tempatan pada jarak lebih kurang 9.5 batu nautika dari timur laut Tanjung Pasir Mas, Kuala Paloh, petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Gilbert Tinggak Numpang berkata, Kapal Maritim (KM) Semilang dalam rondaan Op Permai di sekitar perairan Belawai telah mengesan sebuah bot nelayan tempatan yang mencurigakan sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan sekitar jam 2 petang.

“Hasil pemeriksaan dan geledah mendapati bot tersebut dikendalikan seorang tekong dan tiga kru warga tempatan berumur dalam lingkungan 20 tahun hingga 49 tahun.


“Mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen, iaitu menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, bot tersebut bersama kru termasuk tekong, peralatan menangkap ikan serta hasil tangkapan dianggarkan sebanyak dua tan metrik diiring masuk ke jeti Jeti Awam Tanjung Manis untuk siasatan lanjut.

Kes tersebut akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985.

“Sebarang aduan serta maklumat berkenaan dengan sebarang aktiviti yang mencurigakan di laut boleh dilaporkan dengan menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Tanjung Manis ditalian 084-613292.

“Laporan juga boleh dibuat kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam,” katanya. — DayakDaily