PKR nasihati ibu bapa tidak ambil anak di asrama SMK Bakun

SMK Bakun

KUCHING, 14 Feb: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Hulu Rajang menasihatkan ibu bapa yang anaknya tinggal di asrama SMK Bakun untuk tidak mengambil anak mereka.

Menurut ketuanya Abun Sui Anyit, sekolah tersebut kini telah diperintahkan ‘lockdown’  berikutan terdapat kes positif Covid-19 melibatkan seorang tenaga pengajar.

“Patuhi arahan dan prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan oleh pihak berkuasa. Beri kerjasama sepenuhnya dengan petugas barisan hadapan untuk melakukan ujian swab terhadap kontak rapat.

“PKR Hulu Rajang juga menasihati agar penduduk yang tinggal di Sungai Asap atau Bakun Resettlement Scheme (BRS) yang merupakan memiliki populasi yang agak padat di dalam Daerah Belaga agar tidak keluar rumah jika keadaan tidak mendesak,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah Abun, dalam tempoh tiga hari mulai 13 hingga 15 Februari ini, petugas barisan hadapan akan melakukan aktiviti kawalan dan pencegahan Covid-19 di SMK Bakun.

Dalam pada itu, ahli-ahli PKR Hulu Rajang juga dinasihati untuk tidak membuat sebarang aktiviti yang melibatkan kelompok yang ramai sehinggalah notis selanjutnya oleh AJK Cabang. — DayakDaily