KUCHING, 27 Julai: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mukah mengesa Kerajaan Sarawak agar lebih komited dalam membantu masyarakat Bumiputera mendapatkan lot tanah kampung.
Ketuanya Mohd Arwin berkata, program pengukuran tanah hak adat bumiputera (NCR) yang dijalankan oleh kerajaan masih belum mencapai sasaran dan kehendak rakyat sepenuhnya.
“Menerusi program seperti Skim Pembesaran Kampung (SPK) yang diadakan sebelum ini, masih ramai lagi masyarakat yang belum menikmatinya.
“Mereka ini adalah golongan B40 yang masih tidak mempunyai tanah dan rumah sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Arwin menuntut kerajaan untuk mengotakan janji bahawa tanah akan disukat mengikut Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak dan surat hak milik tanah dikeluarkan.
Katanya, Kerajaan sudah tentu mempunyai kaedaah tertentu untuk melaksakan aktiviti pengukuran tanah NCR di Sarawak yang telah menjadi tuntutan sejak sekian lama.
“Ini adalah harapan rakyat Sarawak agar Kerajaan dapat membantu pemilik tanah NCR dan lot kampung untuk mendapatkan surat hak milik,” katanya.
Mengulas lanjut ,Mohd Arwin berkata kebanyakan penduduk Mukah masih tinggal berhampiran tebingan sungai dan tepi pantai yang terdedah kepada pelbagai bahaya.
Golongan ini katanya sentiasa mengintai peluang mendapatkan lot kampung dan membina rumah sendiri. — DayakDaily