PKR Limbang tekad tambah keahlian baharu

Parti Keadilan Rakyat logo.
Advertisement

LIMBANG, Julai 9: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Limbang kini giat berusaha menambah keahlian ahli parti berkenaan di daerah ini dalam persedian menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12) akan datang.

Timbalan Ketua Cabang PKR Limbang, Masanal@Nasir Akit berkata, program penambahan keahlian PKR perlu diberi perhatian serius kerana ia bukan sahaja untuk menambah angka baru, tetapi yang lebih penting melahirkan lebih ramai pemimpin pelapis.

Katanya, program itu juga amat penting dalam memastikan kesinambungan parti supaya ia terus relevan sepanjang masa terutamanya ketika menghadapi PRN12 kelak.

Advertisement

“Saya berharap pelbagai program yang dibuat semakin ramai golongan muda mendaftar sebagai ahli PKR khususnya pemuda.

“Jadi, saya berharap semua pihak akan bekerja keras dalam usaha menambah sebanyak mungkin keahlian sebelum pilihan raya negeri akan datang,” katanya pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri di sini.

Dalam pada itu, Masanal mahu, jentera PKR Limbang perlu bekerja dengan lebih kuat bagi memantapkan lagi keahlian baharu.

“Ini bukan masanya untuk kita mengadakan program yang hanya gah di mata tetapi pengisiannya adalah kosong kerana ia akan merugikan negara.

“Kita perlu mengadakan program yang mampu menarik minat golongan muda untuk menyertai kita,” katanya.

Sementara itu, beliau kesal dengan tindakan beberapa agensi dan jabatan di daerah itu yang tidak menggantungkan gambar Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di pejabat masing-masing.

“Perkara ini perlu diberi perhatian serius kerana kerajaan persekutuan sekarang diterajui oleh Pakatan Harapan (PH),” tegasnya lagi. — DayakDaily

Advertisement