Ahmad Ibrahim: Jangan beri kuasa pemerintahan Sarawak kepada Semenanjung Malaysia.

Datuk Ahmad Ibrahim

KUCHING, Julai 9: Sekiranya Pakatan Harapan (PH) Sarawak memenangi Pilihan Raya Negeri yang akan datang pada 2021, ia bakal menjadikan Sarawak kembali ke format ‘Pemerintahan Kawalan Jauh Semenanjung Malaysia’, kata Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Batu Kawah, Datuk Ahmad Ibrahim.

Maka itu, katanya sudah pasti pemerintahan PH Sarawak harus mematuhi arahan yang diberikan oleh ‘Bos’ Semenanjung Malaysia mereka.

Sehubungan itu, Ahmad mengingatkan rakyat negeri ini supaya terus mempertahankan kuasa yang dipegang oleh orang Sarawak tanpa pengaruh langsung dari luar Sarawak.


“Saya katakan ini bukan kerana saya tidak suka orang luar, atau orang Sarawak tidak suka orang Semenanjung.

“Saya katakan ini kerana sebagai orang Sarawak, saya menolak jika Sarawak diperintah oleh orang luar dari jauh, melalui kawalan jauh,” katanya yang dihubungi.

Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) itu menegaskan sebab beliau menyatakan demikian adalah kerana sudah ada sejarah di mana ‘orang luar’ telah cuba mengambil kesempatan ke atas Sarawak melalui pelbagai cara.

“Pada masa ini, orang luar ini dapat menyakinkan rakyat Sarawak bahawa ia akan menjaga kepentingan terbaik Sarawak tetapi pada masa sama, memberi mereka akses penuh untuk merampas Sarawak.

“Contohnya pada tahun 1970-an, kerajaan persekutuan cuba menjadikan Bintulu sebagai Wilayah Persekutuan seperti Labuan melalui rundingan dengan kerajaan negeri Sarawak.

“Nasib baik, ini ditolak oleh Tun Rahman (Tun Datuk Patinggi Abdul Rahman Ya’kub, Ketua Menteri pada masa itu),” katanya. — DayakDaily