PKR Hulu Rajang: Kepimpinan Masing wajar dicontohi

Abun Sui Anyit

KUCHING, 3 Nov: Kepimpinan Timbalan Ketua Menteri mendiang Tan Sri James Masing wajar dicontohi oleh kerajaan dan pemimpin yang lain, kata Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Hulu Rajang Abun Sui Anyit.

Ditemui di upacara penghormatan terakhir di Association of Churches in Sarawak (ACS) di sini hari ini, Abun menyifatkan mendiang Masing sebagai seorang pemimpin yang baik.

“Kita memang kehilangan seorang pemimpin yang baik dan beliau telah melakukan yang terbaik sebagai Adun Baleh dan pemimpin di dalam kerajaan.


“Semoga kerajaan atau pemimpin di masa depan boleh mencontohi kepimpinan beliau.

“Walaupun agak lantang bersuara, tetapi itulah yang sepatutnya dilakukan seorang pemimpin,” kata Abun.

Tambah Abun yang juga Ketua Penerangan PKR Sarawak, mendiang Masing adalah seorang yang kuat bekerja.

Walaupun terlantar di katil hospital, katanya, mendiang masih bekerja dan ingin mengetahui perkembangan di Sarawak.

“Saya mewakili semua PKR Hulu Rajang turut bersedih dengan pemergian Masing.

“Beliau telah melakukan yang terbaik di dalam hidup sebagai seorang pemimpin Sarawak,” katanya.

Masing, 72, meninggal dunia di Pusat Perubatan Normah Sarawak (NSMC) di Petra Jaya, Kuching pada 7.05 pagi Ahad (31 Okt).

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) itu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Umum Sarawak pada September selepas disahkan positif Covid-19 dan kemudian dipindahkan ke NSMC untuk rawatan susulan.

Jenazah Masing akan dibawa ke Nirvana Memorial Park, Kuching untuk upacara pengkebumian selepas selesai upacara penghormatan terakhir pada jam 2 petang. — DayakDaily