PKR: Gunakan rizab negeri untuk memenangi hati rakyat bagi PRN12 adalah keterlaluan

Boniface Willy Tumek

KUCHING, Jun 19: Parti Keadilan Rakyat (PKR) cabang Mas Gading terkejut dan dalam keadaan tidak percaya terhadap kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing, yang mencadangkan agar rizab Sarawak sebanyak RM31 bilion dibelanjakan sebelum Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12), yang dijangka diadakan kira-kira tiga tahun dari sekarang.

Ketua PKR Cabang Mas Gading, Boniface Willy Tumek berkata kenyataan Masing yang juga Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) itu jelas menunjukkan ketakutannya bahawa Gabungan Parti Sarawak (GPS) mungkin kalah dalam PRN12 dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mengambil alih kepimpinan kerajaan Sarawak akan menggunakan rizab itu.

“Jika PH menjadi pemerintah di Sarawak, sudah tentu PH dengan gembira akan mengakui bahawa rizab itu bukan milik mereka kerana wang itu adalah milik semua rakyat Sarawak.


“Sesiapa yang mempunyai pemahaman asas tentang politik dan kerajaan akan memahami perkara itu,” katanya mengulas mengenai cadangan Masing agar kerajaan negeri menggunakan rizab sebanyak RM31 bilion untuk melaksanakan projek pembangunan kerana jika tidak, GPS mungkin kalah PRN12.

Kenyataan Masing itu telah dilaporkan dalam sebuah akhbar tempatan hari ini.

Boniface yang juga Naib Pengerusi PKR Sarawak menambah, cadangan Masing untuk membelanjakan keseluruhan rizab negeri itu juga adalah keterlaluan, tanpa memikirkan untuk menjaga rakyat Sarawak selepas PRN12 pada 2021.

Katanya sebagai pemimpin yang sudah lama berkhidmat di dalam kerajaan Sarawak pada hari ini, Masing sepatutnya sedar mengenai apa yang telah berlaku kepada negara, disebabkan oleh cara tidak bertanggungjawab kerajaan Barisan Nasional (BN) menguruskan kewangan negara sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu.

“Adakah harapannya untuk melihat kewangan Sarawak berada dalam keadaan yang sama dengan kerajaan persekutuan selepas PH mengambil alih kerajaan persekutuan?” soalnya.

Beliau turut menyifatkan cadangan Masing itu sebagai menyalahgunakan rizab negeri dengan menggunakannya untuk membiayai projek-projek pilihan raya supaya mereka boleh menang PRN12 dan kekal berkuasa.

Sedangkan selama ini, rakyat Sarawak tertanya-tanya mengapa rizab negeri tidak digunakan untuk menyediakan dan memperbaiki infrastruktur, menaik taraf sekolah, membekalkan elektrik dan air terawat termasuk membina klinik kesihatan di luar bandar.

“Kesejahteraan umum yang lebih besar tidak pernah ada dalam fikiran pemimpin-pemimpin kerajaan hari ini dan keperluan rakyat Sarawak terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman adalah begitu jauh dari fikiran mereka.

“Adakah James Masing akan bercakap tentang membina jalan luar bandar dan pesisir, mengenai bekalan elektrik dan memperbaiki sistem bekalan air jika mereka tidak menatap kekalahan dalam PRN12 akan datang?” katanya

Justeru, Boniface berkata jika PH diberikan amanat menjadi pemerintah di Sarawak selepas PRN12, beliau yakin rizab negeri itu akan digunakan secara berhemah dan kondusif bukan hanya untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat tetapi juga mewujudkan keadaan yang kondusif untuk menjana pendapatan serta meningkatkan pendidikan dan sebagainya. — DayakDaily