PKR gesa Wan Junaidi segera bentangkan usul untuk kembalikan status asal Sabah dan Sarawak

Joshua Jabeng

KUCHING, 21 Sept: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak menggesa Menteri Undang-Undang Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar segera membentangkan usul di Parliamen supaya status asal Sarawak dan Sabah dapat dikembalikan mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Setiausahanya Joshua Jabeng berkata, ia adalah merujuk kepada Perkara Ke-5 dalam Lampiran Memorandum Persahaman (MOU) di antara Pakatan Harapan (PH) dengan Kerajaan Persekutuan.

“Selaku Menteri Undang-Undang Kerajaan Persekutuan dan sekaligus sebagai rakyat Sarawak, Wan Junaidi perlu menamatkan kekeliruan yang telah menurunkan taraf Sarawak dan Sabah ke tahap negeri pada tahun 1976.

“Sudah tiba masa untuk mendengar suara rakyat Sarawak dan Sabah yang tidak lagi sudi dianak-tirikan serta diabaikan sebegitu lama hingga jatuh ke tahap termiskin di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Joshua, peluang keemasan di bawah MOU ini telah timbul semula dan semua rakyat digesa berganding bahu untuk memperjuangkan kepentingan kita bersama.

Katanya, Perkara ke-5 dalam MOU adalah landasan sah dan wadah terbaik untuk menebus maruah kita sebagai ‘Equal Partners’ dalam Malaysia.

“Segala dokumen yang berkaitan dengan hak-hak istimewa Sarawak dan Sabah mesti dibentang dan diluluskan oleh Dewan Rakyat Ke-14 dalam masa lebih kurang 20 bulan iaitu sebelum Parlimen dibubar pada 2023,” katanya. — DayakDaily