PKR gesa sebuah hospital lengkap dibina di Mukah

Mohd Arwin Lim Abdullah.
Advertisement

KUCHING, 19 Julai: Mukah memerlukan sebuah hospital yang lengkap untuk kemudahan penduduknya, kata Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mukah Mohd Arwin Lim Abdullah.

Menurut beliau, hospital sedia ada sekarang sudah jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan hospital di daerah lain khususnya dari segi fasiliti mahupun kepakaran.

“Pembinaan hospital di tapak baru yang sesuai haruslah dirancang dan dilaksanakan dengan segera.

Advertisement

“Kita tidak mahu masyarakat Mukah terus menghadapi masalah kemudahan kesihatan lebih-lebih lagi dalam keadaan seperti pandemik sekarang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Arwin, perkara ini sudah kerap dibangkitkan tetapi belum mendapat sebarang perhatian daripada pihak berkenaan.

Katanya, ramai pesakit berdepan dengan pelbagai masalah sehingga terpaksa pergi ke Hospital Sibu atau Hospital Bintulu untuk rujukkan mahupun rawatan lanjut.

“Perkara ini sangat membebankan terutamanya bagi golongan yang kurang berkemampuan.

“Adalah menjadi tanggungjawab wakil rakyat di kawasan ini untuk menyuarakan masalah yang dihadapi rakyat ini.

“Kegagalan wakil rakyat membawa masalah inilah menyebabkan masyarakat yang menjadi mangsa,” ujar beliau lagi.

Dengan adanya hospital baru, Mohd Arwin yakin ramai tenaga pakar dan kakitangan hospital akan berkhidmat sekaligus menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh masyarakat Mukah. — DayakDaily

Advertisement