KUCHING, 27 Okt: PKR Sarawak gesa semua pemimpin Sarawak termasuk GPS dan menteri PN yang kembali ke negeri ini mematuhi peraturan kuarantin 14 hari.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak menerusi satu kenyataan semalam berkata, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas mewajibkan semua warganegara Malaysia yang masuk ke Sarawak perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari di pusat kuarantin yang ditetapkan mulai 10 Okt.
“Sekiranya ada pemimpin yang melanggar prosedur operasi ‘standard’ (SOP) kuarantin Covid-19 sekembalinya ke negeri ini akan dilihat sebagai mementingkan diri sendiri.
“Mereka juga meletakkan nyawa orang awam dalam bahaya serta seolah–olah pemimpin ini kebal daripada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” menurut kenyataan itu.
PKR juga mengingatkan pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan menteri Perikatan Nasional (PN) menghentikan sikap bertemu dengan orang ramai tanpa mematuhi SOP Covid-19.
GPS, katanya, hendaklah mempraktikkan kesedaran sivik dan patuh peraturan kuarantin terutamanya pemimpin yang menghadiri mesyuarat di Putrajaya.
“Kami berharap tindakan sewajarnya harus dikenakan kepada pemimpin yang melanggar SOP dan kuarantin.
“Sikap ‘double standard’ harus dihentikan dengan segera dan pemimpin perlu patuh kepada peraturan dan memberikan contoh yang baik kepada rakyat disamping menjamin kesejahteraan kesihatan rakyat tempatan,” ujar PKR. — DayakDaily