KUCHING, 20 Jan: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Hulu Rajang memandang serius keadaan sisa-sisa kayu yang banyak dan menghalang laluan di kawasan Sungai Linau dalam Tasik Empangan Bakun.
Ketuanya Abun Sui Anyit berkata, penduduk Belaga menggunakan laluan tersebut setiap hari untuk mencari sumber rezeki harian mereka.
“Pergerakan penduduk terhalang kerana tidak dapat melalui sisa-sisa pembalakan ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Justeru, Abun menggesa kerajaan Sarawak mengambil serius masalah ini di mana Tasik Bakun hendaklah sentiasa bersih.
Katanya, ia bukan hanya untuk memudahkan pergerakan penduduk tetapi memang menjadi tanggungjawab kerajaan melalui syarikat yang dilantik untuk sentiasa memastikan Tasik Bakun sentiasa bersih.
“Keadilan Hulu Rajang menggesa agar masalah longgokkan kayu-kayu ini perlu ditangani sepanjang masa.
“Menurut laporan dari penduduk tempatan, longgokkan ini berlaku kerana tiada kerja-kerja yang berterusan oleh pihak yang dipertanggungjawabkan, maka terkumpulnya sisa-sisa kayu ini seterusnya menyebabkan ‘logjam’,” ujar Abun. — DayakDaily