KUCHING, 12 Mei: PKR Sarawak menggesa pihak kerajaan mengkaji serta menilai dengan sewajarnya keadaan rakyat di luar bandar dan tidak hanya bergantung kepada statistik semata-mata.
Menurut Pemangku Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Abang Zulkifli Abang Engkeh, pihak kerajaan berwajib harus menilai secara terperinci berdasarkan apa yang sebenarnya berlaku di peringkat akar umbi.
“Bantuan harus dihulur secara berterusan kerana kita tahu bahawa mereka berhadapan dengan kesukaran.
“Kebebasan mereka untuk bekerja dan untuk memperolehi bekalan makan juga terhad,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau juga menyeru agar kerajaan mengkaji dengan lebih terbuka peraturan supaya dapat melibatkan lebih ramai sukarelawan yang terdiri dari NGO dan parti-parti politik bekerjasama menghulur bantuan serta menghantar bekalan makanan ke kawasan-kawasan luar bandar.
Beliau menyeru supaya ketepikan sebarang fahaman politik, kepercayaan dan perkauman yang sempit kerana dalam keadaan yang sukar ini rakyat sangat memerlukan perhatian serta bantuan.
“Penglibatan NGO dan semua parti politik termasuk dari pembangkang bersama menghulurkan bantuan kemanusiaan dapat meringankan beban kakitangan lerajaan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat,” ujar Abang Zulkifli.
Dalam pada itu, katanya, Hari Raya Aidilfitri yang diraikan esok selagi disambut dalam keadaan yang sangat sederhana.
Ujar beliau, akibat pandemik Covid-19, seluruh lapisan masyarakat diasak dengan perubahan ekonomi keluarga yang sangat ketara dan mencengkam.
“Garis panduan dan prosedur operasi ‘standard'(SOP) menambah lagi kesukaran kehidupan masyarakat.
“Dengan norma baharu yang belum serasi dengan amalan masyarakat, ia akan terus menambah bebanan kepada semua orang terutama sekali kehidupan masyarakat miskin dan buruh kasar,” kata Abang Zulkifli. — DayakDaily