PKR Cabang Baram cadang Ali Biju sebagai Pengerusi MPN yang baharu

Parti Keadilan Rakyat logo.

KUCHING, Nov 20: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Baram mencadangkan MP Saratok yang juga ADUN Krian, Ali Biju sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) yang baharu.

Menurut ketuanya, Roland Engan, keputusan tersebut dibuat pada mesyuarat tergempar JawatanKuasa Cabang Baram yang diadakan Sabtu lepas.

“Kami sedia maklum tentang Fasa 21.8 Perlembagaan parti bahawa Presiden parti mempunyai kuasa melantik Pengerusi MPN setelah berunding dengan semua ketua cabang.


“Jika presiden berunding dengan ketua cabang sebelum melantik Pengerusi MPN yang baharu sebagai langkah menghadapi pilihanraya Sarawak, maka Ketua Cabang Baram akan mencadangkan nama Yb Ali Biju sahaja,” katanya.

Kenyataan tersebut yang juga merupakan resolusi dan ketetapan mesyuarat tergempar JawatanKuasa Cabang Baram telah dihantar kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Tambah Roland, mesyuarat tergempar itu mengambil pendirian berdasarkan perlembagaan parti dan perjanjian Pakatan Harapan (PH) yang dimeterai sebelum PilihanRaya Umum Ke-14(PRU14) lepas.

PKR Cabang Baram juga berpendapat bahawa struktur kepimpinan PKR belum cukup komprehensif dan inklusif kerana ketiadaan elemen autonomi kepimpinan Sarawak dalam perlembagaan.

“Maka kami menggesa MPN Sarawak dan Mesyuarat Agung Tahunan PKR dengan segera meluluskan resolusi meminda perlembagaan parti sekarang.

“Ia untuk menonjolkan konsep sebenar rakan kongsi yang setara dan, atau Perjanjian Malaysia 1963 dalam struktur kepimpinan parti,” menurut Roland.

Di samping itu, tegas beliau, PKR Cabang Baram juga mengesahkan komitmen dan sokongan kepada PKR, perlembagaan parti dan komitmen untuk menghormati Perjanjian PH yang dimeterai antara semua parti komponen PH sebelum PRU14.

Turut terkandung di dalam resolusi dan ketetapan adalah komitmen dan sokongan PKR Cabang Baram kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan MP Selangau yang juga ADUN Ba’Kelalan, Baru Bian sebagai Pengerusi MPN Sarawak yang mengetuai kempen PRN12.

Roland juga menegaskan yang PKR Cabang Baram akan menghadiri dan mempromosi Konvensyen PKR yang akan diadakan di Miri pada November 23 ini. — DayakDaily