PKR Batang Sadong sokong agenda pembaharuan agrarian

Parti Keadilan Rakyat logo.

KUCHING, 20 April: PKR Batang Sadong menyokong reformasi pentadbiran tanah Sarawak yang akan dilaksanakan oleh PH setelah mengambil alih Kerajaan Negeri Sarawak selepas Pilihanraya Negeri akan datang.

Menurut ketuanya Piee Ling, agenda reformasi tanah adalah tawaran utama dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).

Katanya, diharapkan agar semua warga Sarawak mengambil peluang ini untuk melindungi hak asasi mereka dalam jangka masa panjang.


“Konsep yang dipelopori oleh PKR (Parti Keadilan Rakyat) Sarawak ini dirangka untuk memberi pemilikan tanah secara sah kepada penduduk yang tidak mempunyai tanah.

“Pelaksanaan konsep yang dinamakan pembaharuan agrarian ini juga diyakini mampu mengatasi sepenuhnya isu-isu tanah termasuk pemilikan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Piee, konsep tersebut merupakan adaptasi daripada model skim Felda di Semenanjung Malaysia di mana setiap keluarga diperuntukkan 10 ekar.

Manakala konsep agrarian yang akan diperkenalkan nanti memberi peluang kepada setiap peserta membangunkan tanah dengan tanaman komersial dalam tempoh 15 tahun dan seterusnya memiliki sendiri tanah yang diusahakan.

“Selain daripada itu, konsep agrarian ini juga mengambil contoh akan pelaksanaan pembaharuan tanah untuk pertanian di Filipina.

“Ia menggalakkan peserta menceburi bidang tanaman komersial secara besar-besaran yang seterusnya membangunkan kawasan sekitarnya,” ujar beliau.

Pembaharuan agrarian ini merupakan usaha komprehensif yang akan memanfaatkan penduduk yang tidak memiliki tanah terutama dari kaum Melayu Melanau berbanding dengan Bumiputera Sarawak yang lain.

Jelas Piee, mereka telah memiliki tanah NCR yang luas yang diwarisi daripada nenek moyang mereka dan akan diberi pemilikan mengikut undang-undang baharu yang akan diperkenalkan nanti.

“Ini akan memberi keadilan kepada rakyat Sarawak yang diketahui mempunyai tanah yang terluas di Malaysia dan bukannya hanya dimiliki oleh syarikat besar,” katanya. — DayakDaily