PKR Batang Lupar tolak amalan lompat parti

Safudin Lebey

KUCHING, 7 Ogos: Semua parti dalam komponen Pakatan Harapan (PH) digesa untuk tidak mudah menerima sewenang-wenangnya anggota yang telah bertindak melompat parti.

Timbalan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Batang Lupar, Safudin Lebey, berkata ini demi menjaga keutuhan dan perpaduan dikalangan ahli Pakatan.

Beliau mengakui wujudnya individu tertentu, terutamanya dari cabang Batang Lupar, yang didapati mengeluarkan kenyataan di media sosial dan bertindak melompat parti ke dalam komponen Pakatan negeri yang lain.


“Maka dengan ini kita ingin membuat kenyataan untuk menjelaskan kedudukan sebenar apa yang diperkatakan oleh sesetengah pihak sebagai konflik dalaman.

“Kita juga ambil maklum mengenai pandangan dan cadangan semua pihak khususnya dalam media sosial.

“Saya menggesa kepada semua komponen parti PH untuk tidak menerima mana-mana individu yang ‘melompat parti’ seperti ini, kerana tindakan menerima mereka yang mahu melompat parti ini bukan sesuatu amalan yang sihat,” ujar beliau melalui kenyataan media hari ini.

Jelas Safudin lagi, mereka (PKR) juga mengutamakan anggota yang cinta dan kasihkan perjuangan parti yang sekian lama berganding bahu untuk kelestarian parti walaupun menghadapi pelbagai krisis dan ancaman.

“Kita tidak mahu menyimpan anggota parti yang diibaratkan sebagai barah kerana ia boleh merebak bila-bila masa serta mendatangkan mudarat kepada parti serta ahli sekaligus,” katanya.

Tambah Safudin, Lembaga Disiplin PKR diperingkat cabang yang diketuai oleh ketua cabang Batang Lupar, Abang Zulkifli Abang Engkeh, juga akan memaklumkan kepada Biro Politik Negeri supaya menghantar surat tunjuk sebab kepada mana-mana anggota parti yang telah mengeluarkan sebarang kenyataan kontroversi yang boleh mencemarkan kredibiliti dan keperibadian kepimpinan PKR.

“Kita mendesak kepada kepimpinan negeri agar mengeluarkan satu resolusi bersama Pakatan Harapan negeri.

“Resolusi untuk tidak menerima mana-mana anggota parti yang berhasrat dan telah melompat parti sebagai ahli biasa mahupun mempunyai jawatan yang dilantik dalam sesebuah parti terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam parti politik dan mana-mana Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).”

Beliau juga menegaskan tidak wujud sebarang konflik dalam parti peringkat cabang seperti dakwaan sesetengah pihak melalui media sosial, malah parti diperingkat ini telah dan sedang merangka beberapa aktiviti kemasyarakatan bersama rakyat.

“Kita juga telah bekerjasama dengan beberapa agensi persekutuan untuk kelestarian parti ini,” ujar Safudin. — DayakDaily.