KUCHING, 5 Feb: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak akan membantu segera pemilik premis di pekan Spaoh, Betong, yang musnah dalam kejadian kebakaran semalam (Feb 4).
Ketika ini, ahli parti terbabit sedang mengutip derma bagi membantu mangsa kebakaran terbabit, kata pengerusi PKR Sarawak Baru Bian.
“Adalah satu kebiasaan bagi parti untuk mengutip derma bagi membantu mangsa. Kutipan derma ini dalah di atas inisiatif kami sendiri,” kata beliau ketika menghadiri rumah terbuka Tahun Baru Cina 2019 Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak, di sini, hari ini.
Kejadian kebakaran kedai di pekan Spaoh, Betong, berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari ketika semua peniaga sibuk membuat persiapan majlis makan besar sempena perayaan Tahun Baru Cina.
Tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong dibantu 10 anggota dari BBP Saratok dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan pada jam 12.40 tengah hari.
Kejadian kebakaran terbabit memusnahkan keseluruhan lapan kedai lama berstruktur kayu itu tetapi tiada berlaku sebarang kecederaan dan kematian dilaporkan.
Pihak bomba masih menyiasat punca kebakaran. — DayakDaily