Sasaran kerusi PKR untuk PRN Sarawak 2021 masih dibincang – Baru

Baru Bian

KUCHING, Feb 5: Parti Keadilan Rakyat (PKR) masih belum memutuskan lagi, bilangan kerusi yang mahu ditandinginya pada pilihanraya negeri Sarawak 2021.

Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian berkata parti terbabit bercadang untuk mengadakan mesyuarat mengenai bilangan kerusi yang akan ditandingi pada 24 Febuari depan.

“Belum lagi, kami masih belum memuktamatkan itu (bilangan kerusi yang akan mahu ditandingi PKR Sarawak), kami sepatutnya bermesyuarat 24 Febuari depan,” katanya ketika menghadiri rumah terbuka Tahun Baru Cina 2019 Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak, di sini, hari ini.

Baru Bian tidak dapat mengesahkan lagi samada bilangan kerusi yang mahu ditandingi parti terbabit pada pilihanraya negeri (PRN) Sarawak 2021 adalah sama seperti jumlah kerusi yang ditandingi parti itu pada PRN 2016.

“Apapun mengenai itu, kami akan memberitahu selepas kami bermesyuarat dan membincangkan perkara terbabit dalam pusingan mesyuarat seterusnya,” katanya.

Pada PRN Sarawak 2016, Keadilan telah bertanding di sebanyak 41 daripada 82 keseluruhan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, tetapi hanya mampu mengekalkan tiga kerusi yang dimenanginya sebelum ini, iaitu Batu Lintang, Krian dan Ba’Kelalan. — DayakDaily