PKPP: Sesi persekolahan dibuka berperingkat

School books. —DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Jun 7: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa sesi persekolahan akan dibuka secara berperingkat sepanjang
pelaksanaan Perintah kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Katanya, Kementerian Pendidikan akan membuat pengumuman terperinci mengenainya dalam tempoh terdekat ini.

Advertisement

“Bagi ibu-bapa yang ada anak yang bersekolah, pastinya tertanya-tanya bila sekolah akan dibuka.

“Untuk makluman, sekolah akan dibuka secara berperingkat dalam tempoh PKPP ini setelah mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan.

“Kementerian Pendidikan akan membuat pengumuman terperinci mengenainya sedikit masa lagi,” katanya pada Perutusan Khas PKPP di Putrajaya hari ini.

Berhubung PKP yang dilaksanakan hampir tiga bulan yang lalu, kerajaan telah melaksanakan pelbagai strategi dan langkah dalam membendung wabak Covid-19.

Ujar beliau, banyak kawalan dan sekatan telah dikenakan ke atas orang ramai.

“Itu tak boleh, ini tak boleh dan sebagainya. Namun, saya sedar kerajaan tidak boleh mengawal kehidupan rakyat buat selama-lamanya
untuk menghindari jangkitan wabak ini.

“Saya tahu saudara-saudari juga mahu menjalani kehidupan seperti biasa, ingin keluar bekerja, berniaga, beriadah, melancong bersama
keluarga dan melakukan aktiviti-aktiviti lain dalam kehidupan seharian,” katanya.

Menurut Muhyiddin, kini tibalah masanya kerajaan memberikan lebih banyak kelonggaran dengan syarat orang ramai mengambil tanggungjawab secara serius untuk mengamalkan kebiasaan baharu kehidupan dan mematuhi semua SOP yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Ini bermakna, tanggungjawab untuk memastikan wabak Covid-19 kekal terkawal berada di tangan saudara dan saudari sekalian.

“Saya juga ingin menekankan kepentingan peranan pemimpin masyarakat termasuk ketua kampung, ketua komuniti dan pemimpin NGO dalam
membendung penularan wabak ini dengan memastikan semua anggota masyarakat mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Tidak kurang pentingnya ialah peranan majikan. Para majikan juga mestilah memastikan semua pekerja mematuhi SOP di tempat kerja,” ujar
beliau.

Muhyiddin percaya jika rakyat terus berdisiplin, penularan wabak Covid-19 akan kekal terkawal.

Tambah beliau, Malaysia akan memasuki fasa normalisasi selepas 31 Ogos 2020 sehinggalah vaksin untuk virus Covid-19 ditemui.

“Namun, saya ingin mengingatkan sekiranya berlaku peningkatan mendadak kes positif Covid-19 dalam tempoh ini, kerajaan tidak akan
teragak-agak untuk melaksanakan PKPD di kawasan yang berkenaan,” tegas beliau. — DayakDaily

Advertisement