Oleh Chris Bishop
KUCHING, 7 Jun: Masyarakat Islam di seluruh negara dibenarkan untuk meraikan sambutan Hari Raya Aidiladha dan ibadah korban yang dijangka pada 31 Julai ini, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin .
Pada perutusan khas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Putrajaya hari ini, beliau berkata sambutan tersebut tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) pihak berkuasa agama Islam.
“Dalam kategori perayaan dan aktiviti keagamaan, saya nak sampaikan berita baik. Sambutan Hari Raya Aidiladha dan ibadah korban akan dibenarkan tertakluk kepada SOP pihak berkuasa agama Islam,” katanya.
Muhyiddin turut memaklumkan bahawa untuk solat berjemaah dan aktiviti keagamaan di masjid dan rumah-rumah ibadat, kelonggaran untuk membenarkan lebih ramai jemaah hadir mengikut ruang keluasan masjid atau rumah ibadat sedang diperhalusi oleh kerajaan dan akan diumumkan sedikit masa lagi.
Mengulas lanjut, beliau berkata PKPP yang dilaksanakan mulai 10 Jun dan berakhir 31 Ogos ini tidak lagi menyekat pergerakan rentas negeri.
“Selaras dengan fasa penjanaan semula ekonomi negara dan tiada lagi sekatan rentas negeri, aktiviti pelancongan domestik akan dibenarkan.
“Jadi saudara-saudari bolehlah membawa keluarga untuk melancong di dalam negeri dengan mengamalkan kebiasaan baharu setelah hampir tiga bulan tidak ke mana-mana.
“Bagi yang berhasrat untuk melancong ke luar negara, tunggu dulu kerana sempadan negara kita masih ditutup,” katanya.–DayakDaily.