PKPP: Gereja dan kuil dibenar beroperasi seperti biasa

Ornate church interior. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Jun 15: Kerajaan telah membenarkan rumah ibadat bukan Islam iaitu gereja dan kuil diseluruh negara beroperasi seperti biasa dengan kapasiti satu pertiga, tertakluk kepada keluasan.

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia telah dipersetujui pada mesyuarat khas hari ini


“Kementerian Perpaduan Negara (KPN) telah berbincang dengan 16 badan dan persatuan agama dan diantara permohonan mereka adalah untuk membenarkan rumah ibadat dibuka dengan masa, hari, jumlah yang berbeza dari sebelumnya.

“Oleh itu mesyuarat khas hari ini bersetuju untuk memberikan kebenaran kepada semua rumah ibadat bukan Islam beroperasi di seluruh negara,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Terdahulu, kebenaran hanya diberikan kepada 171 rumah ibadat bukan Islam dengan kapasiti 30 orang dan hanya boleh dibuka pada hari yang telah ditetapkan sahaja.

Walau bagaimanapun tambah Ismail Sabri, kebenaran itu adalah secara umum dan kebenaran masih tertakluk kepada kerajaan negeri masing-masing.

“Bermakna, ia masih tertakluk kepada kebenaran kerajaan negeri dan SOP yang ditetapkan juga boleh diubahsuai mengikut kesesuaian negeri masing-masing.

“Paling penting ialah mesti mengisi maklumat diri atau memuat turun aplikasi MySejahtera,” ujar Ismail Sabri. — DayakDaily