Oleh Chris Bishop
KUCHING, JUN 6: Perkhidmatan gunting dan dandanan rambut dibenarkan beroperasi mulai 10 Jun 2020, tegas Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Putrajaya hari ini, beliau berkata ia dilaksanakan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
“Mesyuarat hari ini mendengar pembentangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna dan telah bersetuju untuk membenarkan perkhidmatan gunting rambut dan kecantikan bermula 10 Jun 2020,” katanya.
Tambah Ismail, aktiviti berkaitan yang dibenarkan termasuk gunting rambut asas, cuci rambut, cukur jambang dan misai, solekan dan rawatan rambut serta cuci dan rawatan muka.
Beliau turut menggesa premis gunting rambut untuk menetapkan waktu khas untuk golongan berisiko tinggi iaitu warga emas berusia 60 tahun ke atas dan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.
Sebagai contoh katanya, dari jam 10 pagi hingga 12 tengahari dan ia adalah untuk mengelakkan percampuran dengan orang ramai.
“Antara SOP yang diperkenalkan termasuk pemakaian pelitup muka, pelindung muka, apron dan sarung tangan(pakai buang) bagi penggunting rambut.
“SOP am yang lain ialah menggunakan pembasmi kuman tangan, memeriksa suhu badan dan mencatatkan nama dan nombor telefon pelanggan,” kata Ismail.
Menurut Ismail lagi, sejumlah 74,500 pekerja terlibat di dalam sektor gunting rambut di seluruh negara dan ia menghasilkan RM13.5 bilion setahun kepada KDNK.—DayakDaily.