PKPB: PDRM dan ATM akan lakukan pemeriksaan mengejut di kediaman pada hari perayaan

Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 19 MEI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melakukan pemeriksaan mengejut di kediaman ketika hari perayaan.

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kediaman yang disyaki tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat  (PKPB) akan disiasat.


“Ramai yang menganggap pada hari raya tak akan polis hendak mengawal
rumah mereka, tak mungkin setiap rumah akan dikawal.

“Tetapi saya dimaklumkan tadi oleh Ketua Polis Negara bahawa pada perayaan nanti, pihak polis akan meronda di setiap kawasan.

“Dan jika didapati banyak kenderaan berada di kawasan rumah, pihak polis akan menyemak kediaman tersebut dari segi jumlah individu yang berada di dalam rumah tersebut.

“Jadi kalau banyak kereta berkemungkinan ramai orang,” katanya pada sidang media harian PKPB di Putrajaya hari ini.

Menurut Ismail lagi, pihak polis dan ATM telah bersetuju untuk bergerak pada hari raya pertama dan pada hari raya seterusnya bagi memastikan SOP dipatuhi.

SOP perayaan yang diumumkan beliau pada minggu lepas hanya membenarkan aktiviti ziarah dilakukan pada hari pertama perayaan sahaja.

Aktiviti ziarah terhad kepada ahli keluarga terdekat dan tidak boleh melebihi 20 orang pada satu hari.

Menurut Ismail, ia membabitkan perayaan Hari Raya Puasa, Hari Gawai dan Pesta Kaamatan yang tarikhnya hampir sama.

Pada sidang media yang sama, Ismail turut memaklumkan bahawa pada semalam pihak polis telah menahan 142 individu di atas kesalahan melanggar SOP.

Daripada jumlah itu katanya, 124 individu telah direman, 3 diberi jaminan polis dan 15 individu diberikan kompaun oleh polis.

“Bermakna, mulai semalam kompaun telah mula dikeluarkan oleh pihak polis.

“Saya dah katakan sebelum ini bahawa dalam mesyuarat khas menteri-menteri, kuasa telah diberikan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan undang-undang,” ujar Ismail.—DayakDaily.