Oleh Chris Bishop
KUCHING, Apr 22: Orang ramai yang terkandas di kampung dan ingin melakukan pergerakan balik ke rumah boleh membuat permohonan menerusi aplikasi ‘Gerak Malaysia’ mulai 25 April ini.
Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, permohonan boleh dibuat secara atas talian dengan memberikan maklumat yang diperlukan oleh pihak polis.
“Maklumat ini membolehkan kita tahu sama ada mereka datang dari zon merah, zon hijau dan sebagainya.
“Bagi yang tiada kemudahan internet, mereka boleh membuat permohonan di balai polis yang berdekatan.
“Tetapi, untuk mengelakkan kesesakan di balai polis, mereka dinasihatkan untuk menghubungi balai polis terlebih dahulu untuk membuat temujanji,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) di Putrajaya hari ini.
Namun tambah Ismail, keputusan sama ada membenarkan pergerakan tersebut masih di peringkat kajian.
Katanya, kajian terhadap buruk dan baik pergerakan tersebut harus dilakukan terlebih dahulu selain perlu mendapatkan nasihat daripada kementerian kesihatan.
“Tiada jaminan lagi kerana kita masih menunggu laporan yang akan bermula pada 25 April ini.
“Ketika itu, kita akan tahu seramai mana yang hendak pulang dan ketika itulah kita membuat perancangan dan mengeluarkan prosedur operasi standard(SOP) tertentu,” katanya.
Berhubung kesalahan ingkar PKP, beliau memaklumkan bahawa Polis pada semalam telah menahan seramai 865 individu.
Menurut beliau, ia merangkumi 722 individu yang telah direman dan 133 individu yang diberikan jaminan polis.
“Jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP setakat ini adalah 17,735 individu dan 1,236 individu telah dituduh di mahkamah,” ujar Ismail.—DayakDaily