PKP: SJR mulai 13 Januari, 5 sektor ekonomi dibenarkan beroperasi

Foto fail memaparkan operasi sekatan jalan raya (SJR) di bandar raya Kuching.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 11 Jan: Operasi sekatan jalan raya (SJR) sebagai larangan pergerakan merentas negeri dan daerah akan mula berkuatkuasa pada jam 12.01 tengah malam, Rabu, 13 Januari 2021.

Ini berikutan pengumuman pelaksanaan Perintahan Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) di beberapa negeri oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi satu Perutusan Khas hari ini.

Advertisement

“Bagi negeri yang dilaksanakan PKP, pergerakan anda adalah terhad di dalam 10 kilometer radius sahaja.

“Bagi tujuan membeli barangan keperluan dari pasar raya atau kedai runcit yang berdekatan, hanya dua anggota isi rumah yang dibenarkan untuk keluar dan berada di dalam kenderaan yang sama.

“Mana-mana individu yang melanggar larangan ini boleh dikenakan kompaun maksimum RM1,000,” kata Muhyiddin.

Manakala bagi sektor ekonomi, Kerajaan kata beliau telah mengenal pasti lima sektor yang dibenarkan beroperasi dan dikategorikan sebagai sektor ekonomi perlu.

Katanya, ia membabitkan pengilangan dan pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran, serta perladangan dan komoditi.

Jelas beliau, sektor ini dibenarkan beroperasi kerana peranannya menyokong kerja-kerja membekal keperluan asas dan memastikan rantaian bekalan tidak terputus dan menyokong infrastruktur kritikal dan kerja-kerja kecemasan.

“Bagaimanapun, hanya 30 peratus pekerja dalam kumpulan pengurusan yang dibenarkan berada di pejabat.

“Manakala bagi pekerja di dalam kumpulan sokongan, jumlah pekerja yang diperlukan pada satu-satu masa akan ditentukan oleh majikan masing-masing.

“Ingin saya ingatkan, jumlah pekerja yang ditentukan mestilah mengambil kira pematuhan ketat SOP yang ditetapkan,” tegas Muhyiddin.

Tambah beliau lagi, sepanjang pelaksanaan PKP, kedai makan dan gerai penjaja dibenarkan beroperasi hanya untuk perkhidmatan ‘take away’.

Manakala bagi kawasan PKP-B dan PKP-P, kedua-duanya dibenarkan beroperasi seperti biasa mengikut SOP yang telah ditetapkan.

“Perkhidmatan penghantaran makanan dibenarkan beroperasi. Pasar raya, perkhidmatan kesihatan termasuk klinik, hospital dan farmasi, serta bank dibenarkan beroperasi di kawasan PKP pada tahap berjaga-jaga,” jelas beliau. — DayakDaily

Advertisement