PKP: Pelajar Sarawak pulang melalui empat lapangan terbang

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob - file pic
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, April 27: Pergerakan pulang pelajar-pelajar Sarawak yang berada di Semenanjung Malaysia mulai 1 Mei ini akan melalui empat lapangan terbang.

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi pelajar yang berada di Terengganu dan Kelantan, mereka akan diterbangkan dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.

Advertisement

“Manakala bagi mereka yang berada di zon tengah (Pahang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka), mereka akan diterbangkan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

“Bagi yang berada di zon utara (Perlis, Kedah dan Pulau Pinang), mereka akan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang manakala zon selatan (Johor Bahru) akan pulang melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Senai,” katanya

Beliau berkata demikian pada sidang media harian Perintah Kawalan Keselamatan (PKP) di Putrajaya hari ini.

Tambah Ismail Sabri, seterusnya pelajar-pelajar ini akan diterbangkan ke lapangan terbang berhampiran kampung halaman masing-masing.

Semalam, Menteri Kanan Infrastruktur Datuk Seri Fadillah Yusof pada sidang media di Kuching berkata, seramai 7,000 anak Sarawak yang belajar di Semenanjung terkandas sejak PKP dikuatkuasakan 18 Mac lalu.

Katanya, kerajaan pada masa ini sedang mengumpul maklumat terperinci setiap pelajar daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Pendidikan, Institut Pendidikan Guru dan Kolej MARA.

Menurut Fadillah, maklumat terperinci itu penting untuk mengenal pasti di mana pelajar itu belajar, tinggal dan hendak balik ke mana.

Fadillah yang juga Menteri Kerja Raya, berkata, setibanya di Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri, mereka akan menjalani kuarantin selama 14 hari.

“Saya nak maklumkan ibu bapa dan pelajar, dia tidak akan balik terus ke rumah. Bila sampai sahaja di destinasi mereka akan dibawa ke tempat kuarantin untuk disaring.

“Sampel akan diambil dan diuji, mereka akan dikuarantin menunggu keputusan. Jika negatif, baru akan dihantar balik ke rumah atau berkemungkinan diuji kemudian terus akan dihantar ke rumah untuk kuarantin di rumah,” ujar Fadillah. — DayakDaily

Advertisement