Oleh Chris Bishop
KUCHING, APRIL 14: Bermula Fasa Tiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) esok, polis tidak lagi hanya beri tumpuan kepada kompaun.
Sebaliknya, tegas Menteri Kanan Keselamatan Datuk Ismail Sabri Yaakob, individu yang ditahan akan direman dan dihadapkan ke mahkamah.
“Polis bersetuju bahawa pematuhan PKP masih lagi tidak sampai ke tahap yang kita sasarkan. Ramai lagi yang agaknya dah lupa atau sengaja lupa, masih lagi keluar seperti biasa.
“Oleh yang demikian, pihak polis tidak akan berkompromi dengan hanya memberi kompaun tapi kita hadapkan mereka ke mahkamah.
“Mereka mungkin akan direman dan ditahan di dalam lokap untuk satu atau dua hari,” katanya pada sidang media harian PKP di Putrajaya hari ini.
Tambah Ismail Sabri, rakyat seolah-olah tidak peduli atau takut pada undang-undang yang ada hari ini.
Katanya, mungkin kompaun RM1,000 dianggap tidak tinggi untuk menakutkan mereka yang terus ingkar pada PKP.
“Biarlah mahkamah yang memutuskan kerana di bawah Akta 342, mereka yang ingkar boleh dihukum penjara tidak melebihi dua tahun.
“Dan bagi kesalahan yang seterusnya, boleh dihukum tidak lebih lima tahun penjara,” tegas Ismail Sabri.
Pada sidang media yang sama, beliau turut memaklumkan bahawa pada semalam polis telah menahan 1,374 individu kerana ingkar PKP.
Menurutnya, ia merangkumi 931 individu yang dikenakan kompaun RM1,000 manakala sebanyak 418 individu direman dan 25 individu dijamin polis.
“Semalam juga, sebanyak 427 individu telah dituduh di mahkamah atas kesalahan mengingkari PKP.
“Jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP sehingga 13 April 2020 (semalam) adalah sebanyak 9,090 individu dan jumlah keseluruhan kompaun yang dikeluarkan 4,036,” ujar beliau. — DayakDaily