PKP: Mereka yang terjejas diseru dapatkan bantuan segera — ADUN Muara Tuang

Petugas petugas sedang sibuk membahagikan bantuan makanan asas kepada penerima di DUN Muara Tuang. Kredit foto: Sarawakku Sayang

KUCHING, April 8: Mereka yang tercicir dari senarai penerima bantuan makanan asas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) digesa segera menghubungi jawatankuasa atau individu yang bertanggungjawab.

ADUN Muara Tuang, Datuk Idris Buang berkata, bantuan tersebut adalah dari keperihatinan kerajaan negeri dan pusat khusus untuk rakyat yang terjejas akibat PKP.

“Bagi mereka yang terjejas tetapi tidak mendapat bantuan, hubungi mereka yang bertanggungjawab agar bantuan boleh dihantar dengan segera.

“Berilah nama dan alamat rumah kepada ketua kampung atau tuai rumah, kapitan, penghulu, pemanca, temenggong dan ahli-ahli GPS (Gabungan Parti Sarawak) dan PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu),” katanya pada perkongsian di Facebook.

Mengambil contoh kawasan DUN Muara Tuang, Idris berkata, ramai yang tinggal di luar bandar terjejas teruk dan memerlukan bantuan.

“Kita ada lebih 10,000 keluarga yang merangkumi lebih 70 kampung, kawasan perumahan dan taman. Bantuan makanan ini perlu dihantar ke semua kawasan termasuk di Samarahan dan Serian,” katanya.

Ujar Idris lagi, proses penghantaran bantuan adalah satu operasi besar kerana memerlukan ramai tenaga dan bekalan makanan yang banyak.

Justeru tambah beliau, penghantaran bantuan akan mengambil sedikit masa kerana bekalan makanan mungkin lambat sampai disebabkan seluruh Sarawak memerlukannya.

“Proses penghantaran dilaksanakan secara berperingkat — ada menerima bantuan awal dan ada yang akan menerimanya kemudian.

“Kadang-kadang bekalan makanan seperti beras tersekat dan kita pun menunggu giliran,” katanya.

Namun, Idris memberi jaminan bahawa setiap individu yang terjejas akan mendapat bantuan dari kerajaan secepat mungkin. — DayakDaily