PKP hari ke-26: Polis tahan 1,471 individu ingkar arahan

Police personnel manning a roadblock in Kuching during the MCO (March 22, 2020). - file pic

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 13 April: Polis telah menahan seramai 1,471 individu berkaitan kesalahan ingkar perintah kawalan pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia merangkumi 949 individu yang telah dikenakan kompaun sebanyak RM1,000, manakala seramai 503 individu direman dan 19 individu dijamin polis.

“Jika dilihat daripada jumlah tangkapan, ianya terus bertambah dan ini menunjukkan pihak polis tidak lagi berkompromi terhadap mereka yang ingkar PKP.

“Semalam juga seramai 51 individu telah dituduh di mahkamah di atas kesalahan ingkar PKP,” katanya pada sidang media harian berkaitan PKP di Putrajaya hari ini.


Dari laporan pihak polis, tambah Ismail, tahap pematuhan PKP adalah seperti hari-hari sebelumnya, iaitu 97 peratus.

Beliau turut memaklumkan bahawa semua Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang terletak di zon merah dan zon kuning Covid-19 melibatkan 37, 686 unit rumah telah selesai menjalani proses sanitasi.

“Berhubung pusat kuarantin pula, sebanyak 174 telah beroperasi pada semalam berbanding 163 pada hari sebelumnya.

“Keseluruhannya, seramai 13,575 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib dan pada semalam, seramai 390 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air dan dikuarantin secara wajib,” ujar Ismail Sabri. — DayakDaily