PKP: Bekalan makanan cukup, rakyat jangan panik, tegas Naroden

Datuk Mohd Naroden Majais

KUCHING, April 5: Bekalan makanan di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) mencukupi di seluruh negeri, kata Menteri Muda E-Dagang Datuk Mohd Naroden Majais.

Menurutnya, jaminan itu diberikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang bertanggungjawab ke atas pembekalan makanan di Sarawak.

“Maklumbalas dari KPDNHEP yang bertanggungjawab terhadap pembekalan makanan di Sarawak menyatakan bekalan barangan makanan kita masih dalam terkawal.


“Bekalan adalah mencukupi bagi setiap bahagian, daerah malah di kawasan kampung dan pendalaman,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Justeru, beliau menyeru semua lapisan masyarakat, samada di bandar mahupun di kawasan luar bandar agar jangan panik.

Tambah Naroden yang juga ahli Jawatankuasa Rantaian Makanan, terdapat 800 buah pusat jualan (POS) dikawasan luar bandar yang menjual barangan asas yang terkawal berdaftar dibawah KPDNHEP.

Katanya, penghantaran barangan ini dikawal oleh KPDNHEP dari masa ke semasa mengikut permintaan dan bekalan atau mengikut permintaan dalam sesebuah kawasan.

“Pusat jualan ini membeli barangan mereka daripada pemborong yang ada di pekan yang berdekatan.

“Contohnya, bagi Kampung Nanga Merit dalam bahagian Kapit terdapat tiga buah POS dan semua barangan mereka telah dihantar bagi tujuan “diisi semula” oleh pengedar mereka atas arahan agensi tersebut supaya masyarakat di kawasan boleh membeli keperluan mereka,” ujar Naroden.

Disamping itu tambah beliau, ada juga kedai runcit yang bukan dibawah seliaan KPDNHEP dimana barangan mereka dibeli secara langsung daripada pengedar masing-masing. — DayakDaily