PKMS diminta membantu memperjuangkan hak negeri yang terhakis

Naroden (dua dari kanan) menyampaikan hadiah galakan pelajar kepada anak ahli PKMS yang cemerlang dalam peperiksaan tahun lepas ketika menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri PKMS di Dewan Sri Bunga Rampai, Kuching.

KUCHING, Jun 24: Kerajaan negeri meminta Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) yang pernah di barisan hadapan menentang penjajah pada lewat tahun 40an supaya terbabit membantu memperjuangkan hak negeri ini yang terhakis dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menteri Muda Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana dan Menteri Muda E-Dagang, Datuk Mohd Naroden Majais berkata demikian ketika menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri dan Penyampian Hadiah Galakan Pelajar anjuran PKMS di Dewan Sri Bunga Rampai, Jalan Tan Sri Ong Kee Hui di sini, hari ini.

Persatuan tersebut wujud sejak 1939 sebelum penubuhan Malaysia lagi dan antara pertubuhan Melayu tertua di negara ini. Semasa zaman menentang penjajah lewat tahun 40an, ia telah di barisan hadapan sebagai suara orang Melayu serta menunjukkan keberanian, kelantangan dan kewibawaan menentang penjajah Inggeris zaman itu.


“Saya berharap semangat juang veteran PKMS masa lalu akan dihayati dan disemarakkan oleh para pejuang dan para pemimpin Melayu dan Bumiputera yang lain di Sarawak masa kini dan masa hadapan, seterusnya akan dapat dipanjangkan kepada kerajaan negeri yang dipimpin Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam menperjuangkan hak asasi Sarawak yang telah terhakis selama ini demi untuk rakyat Sarawak,” kata Naroden.

Naroden berkata antara hak itu yang sedang diperjuangkan kerajaan negeri ketika ini ialah kuasa ke atas aktiviti melombong di kawasan minyak dan gas di negeri ini kerana mengikut MA63 semasa penubuhan Malaysia, amat jelas menunjukkan peta sempadan perairan tanah Sarawak kuasanya dibawah kerajaan negeri dan bukan kerajaan pusat.

“Mana boleh mereka rampas ini tanpa kelulusan negeri Sarawak? Tapi kita (Sarawak) sudah jelas menang dalam kes itu. Bukan kita yang menyaman Petronas, tetapi Petronas yang saman kita,” katanya.

Naroden (berdiri, lima dari kanan) bersama ahli PKMS dan anak mereka yang menerima hadiah galakan pelajar dari persatuan terbabit ketika menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri PKMS di Dewan Sri Bunga Rampai, Kuching.

Katanya kini terpulang kepada rakyat Sarawak untuk menilai tindakan Petronas itu dan beliau mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri dan pasukan peguam negeri ini atas kemenangan kes terbabit di mahkamah baru-baru ini.

Beliau berkata yang lebih penting apabila Sarawak sudah menang dan berkuasa mentadbir sektor minyak dan gas mahupun apa juga sumber asli dari bumi negeri ini ialah peluang mendapatkan hasil yang banyak dari sumber itu dan sudah pasti segala aktiviti pengalian mahupun aktiviti hilirannya akan mencetuskan banyak peluang kontrak, peluang perniagaan dan peluang pekerjaan untuk rakyat Sarawak.

“Kalau kita tidak memperjuangkan hak seperti itu, nescaya hak kita itu akan terhakis begitu sahaja dan segala peluang ini akan hilang,” katanya dan mengajak persatuan terbabit dan semua rakyat Sarawak untuk berdiri teguh bersama kerajaan negeri tanpa mengira kaum dan parti politik dalam memperjuangkan hak terhakis negeri ini yang lain. — DayakDaily