PJKM di 118 lokasi rekod nilai jualan hampir RM6 juta setakat 15 Sept

Nanta (dua dari kiri) berbual dengan pengunjung di Dewan Kampung Bunan.
Advertisement

SERIAN, 18 Sept: Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang bertujuan meringankan kos sara hidup rakyat telah dilaksanakan di 118 lokasi di 65 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri Sarawak setakat 15 September 2022.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, pencapaian ini adalah kesinambungan dari kejayaan kementerian melaksanakan PJKM di 196 lokasi di semua 31 kawasan Parlimen.

Katanya, ia merekodkan jumlah pengunjung seramai 267,978 orang dan jualan mencecah RM5.917 juta dari Disember 2021 hingga 14 Ogos 2022.

Advertisement

“Tetapi program ini bukan mementingkan nilai jualan, yang penting ialah berapa ramai dapat manfaat sebab diskaun ini untuk membantu rakyat.

“Bukan nilai jualan yang kita banggakan, yang kita banggakan ialah berapa ramai yang mendapat manfaat,” katanya ketika ditemui di PJKM di Dewan Kampung Bunan di Serian hari ini.

Semasa tinjauan program di Kampung Bunan itu, Nanta yakin program tersebut dapat memberi manfaat kepada lebih 20,000 penduduk di kawasan Dun Kedup.

Katanya, sambutan penduduk di Kampung Bunan (Dun Kedup) amat menggalakkan di mana peluang untuk berjimat membeli barang keperluan harian pada harga murah sehingga 20 peratus dari harga pasaran setempat dimanfaatkan sepenuhnya.

Antara barangan yang dijual dengan harga murah ialah ayam, telur, ikan, sayur-sayuran, minyak masak, gula, tepung, beras, dan barangan keperluan rumah terpilih. — DayakDaily

Advertisement