Pindaan peraturan mesyuarat DUS pastikan keputusan speaker dihormati

Royston Valentine. File Photo
Advertisement

KUCHING, 12 Nov: Pindaan Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Sarawak adalah untuk memastikan semua tuduhan atau kenyataan yang dibuat dalam Dewan disahkan dan dapat dibuktikan, kata Adun Telian Royston Valentine.

Menurut beliau, ia juga bertujuan mengatasi penyalahgunaan media sosial dan sidang akhbar, di mana anggota dewan sering membuat komen yang merendahkan atau menghina keputusan Speaker.

“Sebagai contoh, pindaan kepada Standing Order 20 bertujuan untuk memastikan ahli-ahli Dewan bertanggungjawab terhadap kenyataan yang mereka buat.

Advertisement

“Ahli-ahli akan diminta untuk mengesahkan ketepatan atau kebenaran sebarang kenyataan, tuduhan atau komen yang dibuat di media cetak, portal berita dalam talian, media sosial atau mana-mana platform atas talian,” katanya.

Royston berkata demikian dalam perbahasan terhadap usul pindaan tersebut di Persidangan Dewan Undangan Sarawak (DUS) hari ini.

Usul telah dibentangkan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Tambah Royston, pindaan kepada Standing Order 32 pula melarang ahli-ahli daripada menggunakan atau merujuk kepada sebarang maklumat, tuduhan atau komen yang tidak dapat disahkan kebenarannya dalam ucapan mereka.

“Manakala pindaan kepada Standing Order 40(3) pula membolehkan tindakan diambil terhadap ahli yang berterusan menggunakan atau mengulangi maklumat yang tidak disahkan atau tidak dapat dibuktikan kebenarannya.

“Dan pindaan kepada Standing Order 86 adalah penting untuk memastikan keputusan Speaker dihormati.

“Ia melarang ahli-ahli daripada mempertikaikan, menghina atau sengaja mengingkari keputusan Speaker, sama ada di dalam atau di luar Dewan,” kata Royston. — DayakDaily

Advertisement