Pindaan kepada Ordinan Bangunan Sarawak dibentang Oktober ini — Dr Sim

Dr Sim (dua dari kiri) merasmikan Kempen Keselamatan Kebakaran di Kuching.

KUCHING, 29 Mei: Pindaan terhadap Ordinan Bangunan Sarawak dijangka dibentang di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Oktober ini, kata Timbalan Premier Dato Sri Dr Sim Kui Hian.

Menurut Dr Sim, cadangan pindaan adalah untuk memastikan undang-undang bangunan bersesuaian dengan keadaan semasa.

“Sebagai menteri, saya bertanggungjawab untuk membentangkan cadangan pindaan ini di DUN.


“Saya juga mengumpul maklumat dari pihak Bomba (Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia) dan agensi berkaitan, selain bekerjasama dengan Peguam Besar Negeri Sarawak,” katanya ketika ditemui di Kempen Keselamatan Kebakaran yang diadakan di Farley Mall di sini hari ini.

Tambah Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, antara lain pindaan adalah melibatkan kerja memasang pengesan asap di setiap rumah (projek perumahan).

Katanya, pengesan asap yang seterusnya mengaktifkan penggera kebakaran adalah satu keperluan bagi setiap rumah pada masa ini.

“Kita melihat ia satu keperluan dan membantu mengurangkan kes kebakaran.

“Jika berlaku kebakaran, kos rumah jauh lebih besar daripada kos peralatan pengesan asap,” ujar Dr Sim. — DayakDaily