“Pimpinan GPS harus isytihar aset”

Democratic Action Party logo (source: https://dapmalaysia.org/en/archive/rocket-symbol/)

KUCHING, Jan 21: Naib pengerusi Pemuda DAP Sarawak, Larry Asap mencabar pemimpin Gabungan Parti Sarawak(GPS) mengisytiharkan harta masing-masing.

“Pimpinan GPS mendakwa mereka bukan seperti Barisan Nasional (BN) yang penuh dengan rasuah dan kronisme.

“Jika mereka bukan lagi seperti BN, makanya wakil rakyat daripada GPS harus berani untuk mengisytiharkan harta perolehan mereka kepada rakyat Sarawak sebagai mana yang telah dilakukan oleh wakil rakyat Pakatan Harapan di peringkat pusat,” kata Larry.

Beliau yang juga Pengerusi Protem DAP Bukit Goram menyeru agar wakil rakyat GPS menyahut cabaran tersebut.

Larry percaya cabaran itu akan memberikan impak positif kepada GPS sendiri dimana wakil rakyat daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) harus mengisytiharkan harta perolehan mereka.


Perkara ini, kata beliau, juga selaras dengan tonggak politik intergriti yang dibawa GPS seperti yang mereka nyatakan kepada rakyat Sarawak di dalam pelancaran GPS baru-baru ini.

“GPS adalah sebuah gabungan yang dibentuk setelah Barisan Nasional kalah di peringkat pusat.

“Jikalau PBB, PRS, PDP dan SUPP serius di dalam mengubah wajah politik mereka yang masih dibayangi oleh BN, maka adalah perlu bagi mereka untuk menterjemah “tonggak politik intergriti” yang mereka tawarkan kepada rakyat kepada satu tindakan yang konkrit,” tegas Larry.

Jika GPS ikhlas mengangkat tonggak politik intergriti, Larry merasakan cabaran ini adalah cabaran yang mudah untuk mereka laksanakan. — DayakDaily