Pihak berkuasa memantau makanan, minuman di bazar Ramadhan

Kakitangan Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching mengambil sampel makanan dari peniaga bazar Ramadan Satok pada hari pertama bulan Ramadhan di Satok.

KUCHING, Mei 7: Makanan dan minuman yang dijual peniaga bazar Ramadhan di bandaraya ini tidak terlepas dari dipantau pihak berkuasa.

Ini termasuk di bazar Ramadhan Satok yang mempunyai 93 petak gerai dibuka Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan telah dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, di sini, semalam.

Tinjauan hari pertama bazar Ramadhan itu semalam mendapati terdapat dua kumpulan kakitangan Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching sedang memantau makanan dan minuman yang dijual peniaga bazar terbabit.

Kakitangan Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching menandakan sampel makanan diambil dari peniaga bazar Ramadan Satok pada hari pertama bulan Ramadhan.

Kakitangan itu yang lengkap sarung tangan dan penutup muka juga mengambil makanan dan minuman secara rawak dari kalangan peniaga bazar terbabit dan dimasukkan dalam bungkusan plastik.

Ini dibantu kakitangan lain yang mencatatkan maklumat tentang peniaga yang menjual makanan dan minuman yang telah diambil itu.

“Makanan itu diambil sebagai sampel bagi dilakukan ujian bagi memastikannya selamat dimakan dan ini adalah tindakan penguatkuasaan biasa kami setiap kali tibanya Ramadhan,” menurut kakitangan terlibat apabila ditanya orang ramai curiga melihat mereka mengambil makanan itu.

Kakitangan itu juga turut mengedarkan risalah tentang panduan pemilihan juadah di bazar Ramadhan kepada orang ramai dan memaklumkan mereka akan mengunjungi semua bazar Ramadhan di bandar raya ini bagi mengambil sampel dan bukan hanya bazar Ramadhan Satok sahaja. — DayakDaily