Piagam Madinah jadi Rujukan tadbir Sarawak—Awang Tengah

Datuk Amar Awang Tengah menyampaikan anugerah pengurusan surau terbaik kepada wakil penerima.

Oleh Cornelius Kadir Edison

LAWAS, 30 Okt: Aspek daripada Piagam Madinah dijadikan sebagai salah satu rujukan oleh kepimpinan Sarawak dalam mentadbir negeri itu.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata kepimpinan di Sarawak adalah bersifat adil kepada semua kaum dalam memacu negeri ke arah pembangunan.


“Di Sarawak, kepimpinan di bawah Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg melibatkan kerjasama semua kaum yang ada di negeri ini dan beliau serta semua yang terlibat dalam pentadbiran negeri sentiasa memastikan tiada yang tertinggal,”

Katanya, Penubuhan Unit for Other Religions (UNIFOR) bagi melihat dan menguruskan keperluan agama lain selain daripada Agama Islam adalah bukti bahawa kerajaan di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa berpaksikan kesaksamaan dan hak untuk semua.

“Tiada mana-mana kaum pun yang boleh mengatakan hanya mereka yang mendominasi pemerintahan kerana semua kita memiliki peranan kita masing-masing,” kata ketika berucap pada majlis sambutan Maulidur Rasul di Masjid Besar Lawas semalam.

Dalam perkara berkaitan, beliau turut menyeru rakyat khususnya di Lawas agar sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa dalam usaha menghadapi dan memutuskan rantaian wabak Covid-19.

“Sambutan Maulidur Rasul kita pada tahun ini diadakan pada skala kecil dan tiada perarakan atau rapat umum diadakan seperti selalu.

Keadaan ini kerana kita hendak memastikan bahawa kita dapat memutuskan rantaian Wabak Covid-19 dan keselamatan serta kesihatan rakyat sentiasa terjamin,” katanya. — DayakDaily