PH Sarawak perlu bersatu untuk jayakan misi tawan Sarawak — Bersatu

Jaziri Alkaf A. Suffian

KUCHING, Dis 29: Bersatu Sarawak mahukan semua persengketaan dalaman parti komponen PH Sarawak diketepikan demi memastikan misi menawan Sarawak berjaya dilaksanakan.

Ketua Badan Pimpinan Negeri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sarawak, Jaziri Alkaf A. Suffian berkata, Pakatan Harapan (PH) Sarawak perlu mencapai kata sepakat dalam hal pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) nanti.

“Perkara pembahagian kerusi ini perlu jelas dan sepakat supaya PH Sarawak dapat benar-benar bersiap sedia dengan mantap.

“PH Sarawak juga perlu berganding bahu secara ikhlas dalam menghadapi Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada PRN12 kelak,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Selain Bersatu, PH Sarawak diwakili Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Tambah Jaziri, PH Sarawak harus tidak mengulangi kesilapan bertanding menentang sesama sendiri seperti yang berlaku pada PRN11 yang akhirnya hanya merugikan PH secara keseluruhan.

Dalam pada itu, beliau mengalu-alukan kesediaan Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian untuk berkongsi kerusi dengan Bersatu dalam menghadapi PRN12 yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

Katanya, ia adalah satu usaha yang baik memandangkan Bersatu adalah sebuah parti yang baru bertapak di Sarawak dan memerlukan kerjasama erat antara parti komponen di dalam PH.

“Semenjak Bersatu bertapak di negeri ini pada 2018, adalah menjadi keutamaan bagi parti untuk sentiasa memberi yang terbaik kepada rakyat Sarawak.

“Malah sambutan rakyat terhadap Bersatu di Sarawak dilihat semakin membanggakan dan terbukti melalui siri jelajah yang diadakan di seluruh Sarawak sejak beberapa bulan lepas,” ujar beliau.

Bersatu Sarawak, tambah Jaziri, juga bersetuju bahawa hanya calon boleh menang sahaja yang harus dipertimbangkan untuk menjadi calon PH pada PRN 12 nanti. — DayakDaily