PH Sarawak mahu SPRM segera siasat ‘ikan-ikan besar’

Chong (tengah) ketika sidang media.

By Chris Bishop

KUCHING, 13 Julai: Pakatan Harapan (PH) Sarawak mengalu-alukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas individu berprofil tinggi di negeri ini berhubung dakwaan amalan rasuah.

Pengerusi PH Sarawak Chong Chieng Jen, di sidang media di sini, hari ini, berkata rakyat Sarawak telah menunggu begitu lama agar “ikan-ikan besar” berkenaan dibawa ke muka keadilan.


“Kita harap agar siasatan ini dapat dipercepatkan,” katanya di ibu pejabat Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Chong, yang juga Pengerusi DAP Sarawak, bagaimanapun enggan mendedahkan individu yang dikaitkan dengan ‘ikan-ikan besar’ itu.

“Saya tidak boleh mendedahkan nama individu-individu ini, tetapi ada beberapa orang. Kita serahkan kepada SPRM untuk menjalankan tugas mereka,” katanya lagi.

Beliau, pada awal tahun ini, telah membuat aduan disamping menyerahkan dokumen berhubung individu-individu yang didakwa dengan amalan rasuah di Sarawak kepada SPRM.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya mengesahkan terdapat siasatan ke atas individu berprofil tinggi di negeri ini berhubung dakwaan tersebut.

Namun, Latheefa enggan mendedahkan sebarang maklumat agar tidak menjejaskan siasatan.

Di sidang media yang sama, Chong yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, memaklumkan yang PH Sarawak akan mengadakan majlis makan malam di Kuching pada 28 Julai ini.

Katanya, majlis tersebut adalah sebagai pelancaran kempen menghadapi pilihanraya negeri yang akan datang.

Majlis bakal dihadiri presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin, presiden Amanah Mohamad Sabu dan pemimpin-pemimpin Pakatan yang lain. — DayakDaily.