PGA Sarawak tumpaskan jenayah seludup mercun yang ‘berselindung’ dalam rumah burung walit

Khaw (tengah) menunjukkan antara mercun yang dirampas.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Jan 28: Kegiatan penyeludupan mercun dan bunga api berjaya ditumpaskan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak, semalam.

Operasi jenayah yang ‘berselindung’ di sebalik rumah burung walit di Kampung Sorak Melayu di Serian itu akhirnya terbongkar susulan serbuan yang dilakukan pada pukul 6.20 petang.

Komander Briged Sarawak PGA, SAC Dato’ Khaw Kok Chin mendedahkan, sebanyak 82 kotak yang mengandungi mercun dan bunga api pelbagai jenis telah dirampas dalam operasi berkenaan.

Tegas beliau, kejayaan tersebut adalah hasil risikan yang telah dilakukan oleh pihaknya sejak seminggu lalu.

“Dalam serbuan sama, kita (pasukan polis) turut menahan dua lelaki yang dipercayai ‘dalang’ dalam kegiatan penyeludupan mercun itu.

“Siasatan awal mendapati anggaran rampasan kesemua kotak mercun pelbagai jenis itu sebanyak RM80,000 iaitu nilai sebelum cukai,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Khaw menambah, kedua-dua suspek kini ditahan untuk membantu siasatan.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (D) Akta Kastam 1969.

“Suspek-suspek terbabit juga disiasat di bawah Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009 kerana cuba merasuah,” jelasnya. — DayakDaily