PGA Sarawak dikerah jayakan Operasi Bersepadu Khazanah

Mastor menyematkan lencana Tiger Platoon kepada salah seorang peserta kursus di Kuching hari ini.Mastor menyematkan lencana Tiger Platoon kepada salah seorang peserta kursus di Kuching hari ini (Nov 18, 2019).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Nov 18: Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak dikerahkan terlibat dalam Operasi Bersepadu Khazanah yang telah dilancarkan pada September lepas di Batalion 3 PGA Bidor, di Perak.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Polis Diraja Malaysia, Datuk Mastor Mohd Ariff berkata operasi itu bertujuan untuk melindungi flora dan fauna yang terdapat di dalam hutan Sarawak.

“Kita percaya pada masa kini terdapat anasir-anasir samada dari dalam dan luar negara yang menjadi pemburu haram.

“Pemburu haram ini menjadikan flora dan fauna sebagai sumber pendapatan tanpa mengambil kira kemusnahan yang berlaku akibat perlakuan tersebut,” katanya.

Mastor berkata demikian pada sidang media selesai Majlis Penutupan Kursus Asas CIW dan CQB Tiger Platoon PGA Briged Sarawak tahun 2019 di Ibu Pejabat PGA Sarawak di Batu Kawah hari ini.

Peserta Kursus CIW dan CQB Tiger Platoon Briged Sarawak PGA merakamkan kenangan bersama Mastor (berdiri depan, empat dari kanan).

Tambah beliau, arahan itu juga melibatkan anggota-anggota Tiger Platoon dan mereka akan dikerah ke seluruh pelusuk Sarawak menjejak pemburu-pemburu haram.

“Kawasan operasi bergantung kepada maklumat yang diterima dan ini akan kita rahsiakan.

“Kita percaya operasi ini membantu usaha memelihara flora dan fauna di dalam hutan Sarawak untuk tatapan generasi akan datang,” katanya sambil berkata perasmian operasi tersebut di Sarawak dan Sabah akan dilakukan dalam masa terdekat.

Di samping itu, Tiger Platoon, katanya, adalah pasukan elit dalam PGA yang dilatih khas oleh Komando 69 dan Unit Tindakan Khas (UTK) dalam ilmu peperangan hutan (CIW) dan pertempuran jarak dekat (CQB).

Ujar beliau, pasukan elit itu adalah respon pertama dalam PGA jika berlaku situasi ketenteraman dan juga siapsiaga untuk memberikan bantuan jika berlaku apa sahaja keadaan di Sabah.

Pada majlis hari ini, Mastor menyempurnakan acara menyematkan lencana Tiger Platoon dan penyampaian sijil tamat kursus kepada 3 orang pegawai dan 60 anggota pelbagai pangkat.

Turut hadir Komander Briged Sarawak PGA Datuk Khaw Kok Chin. — DayakDaily