ByJuetila Ozzy
KUCHING, 25 Feb: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak merampas pelbagai jenis rokok disyaki diseludup dalam satu serbuan ke atas sebuah premis di pusat bandaraya ini pada Selasa.
Komandernya SAC Mancha Ata berkata operasi ‘Op Libas’ tersebut dijalankan sekitar jam 1.15 petang hasil daripada maklumat dan risikan yang diterima.
Jelasnya, intipan selama dua jam di lokasi mendapati tiada pihak yang hadir menyebabkan pasukan operasi terpaksa memecah masuk ke dalam premis.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat sebuah van di pekarangan premis berkenaan yang dipenuhi kotak-kotak berisi rokok yang disyaki tiada cukai Kastam.
“Pemeriksaan lanjut kemudian dijalankan ke dalam premis berkenaan dan turut menjumpai pelbagai jenis rokok-rokok juga disyaki tidak lulus cukai,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Menurutnya, siasatan telah dijalankan di lokasi dan mendapati keseluruhan rokok-rokok yang ditemui bernilai sekitar RM255,372.
“Rokok-rokok tersebut kemudian dirampas dan sebuah van dari lokasi juga dirampas dengan anggaran keseluruhan rampasan mencecah RM300,372,” katanya.
Siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. -DayakDaily