PGA rampas rokok, arak seludup bernilai lebih RM1 juta

Khaw (kiri) dan pegawai polis yang lain menunjukan sebahagian rokok seludup yang dirampas.

Chris Bishop

KUCHING, JULAI 27: Pasukan Gerakan Am(PGA) Sarawak melumpuhkan satu sindiket  penyeludupan selepas membuat pemeriksaan ke atas sebuah premis di Kota Samarahan, semalam.

Pemeriksaan telah menjumpai pelbagai jenis rokok berjumlah 102 kotak dengan nilai rampasan RM907,200, termasuk cukai.

Komander PGA, SAC Dato Khaw Kok Chin berkata kejayaan tersebut hasil maklumat awam dan cawangan Risik IP Bridged Sarawak telah membuat pemeriksaan ke atas sebuah premis di kawasan Jalan Muara Tuang, Kota Samarahan.

Operasi yang melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuching itu turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun yang merupakan penjaga stor.

“Pemeriksaan telah menjumpai pelbagai jenis rokok berjumlah 102 kotak yang mengandungi 5,790 karton rokok putih dan kretek, yang dipercayai tiada bercukai.

“Kesemua rokok dirampas dan tangkapan diserah kepada IPD Samarahan untuk tindakan lanjut,” katanya di sidang media di Kuching hari ini.

Di samping itu, PGA juga berjaya mematahkan sindiket penyeludupan yang sama di Limbang semalam.

Menurut Khaw, hasil pemeriksaan di sebuah rumah di Jalan Kubong telah menjumpai 147 botol minuman keras, empat kotak bir (94 tin) pelbagai jenama dan 102 karton rokok pelbagai jenama.

Turut dirampas dua buah kenderan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti penyeludupan.

Seorang wanita tempatan berusia 48 tahun telah ditahan dalam operasi tersebut dan nilai rampasan adalah RM172,274, termasuk cukai.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.— DayakDaily